Sunday, August 15, 2010

KAJIAN PPBK

BAB SATU : PENGENALAN



Pendahuluan



Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun . Ini bersesuaian dengan hasrat pemimpin negara yang ingin menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020 seperti yang terdapat dalam Wawasan 2020. Untuk menjadi sebuah negara yang maju , keperluan untuk meningkat taraf pendidikan rakyat Malaysia adalah sangat penting supaya lebih ramai penduduk Malaysia mempunyai pencapaian yang tinggi dalam bidang akademik dan cemerlang dalam bidang pendidikan .

Teknologi maklumat memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha membantu Malaysia menjadi sebuah negara yang maju. MSC (Multimedia Super Corridor) ialah suatu projek teknologi maklumat yang sangat penting ke arah meningkatkan taraf ekonomi negara, taraf pendidikan rakyat, peningkatan sains dan teknologi, peningkatan perdagangan antarabangsa dan pentadbiran yang lebih bersistematik.

Sekolah Bestari adalah salah satu dari tujuh aplikasi yang dijalankan di bawah projek MSC yang bertujuan untuk meningkatkan lagi sistem pendidikan negara dengan memperkenalkan teknologi maklumat sebagai satu dari komponen dalam persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Sekolah Bestari akan dibekalkan dengan pelbagai kemudahan canggih seperti komputer multimedia yang dapat membantu menjadikan proses pengajaran pembelajaran yang lebih berkesan dan menarik minat pelajar.

Guru-guru juga akan diberi latihan tentang kaedah pengajaran yang lebih kreatif dan cara menggunakan teknologi yang dibekalkan. Menurut Zoraini Wati Abas (1994) penggunaan komputer akan menjadikan pelajar-pelajar lebih kemahiran daya berfikir dan dapat meningkatkan pengetahuan mereka dalam menyediakan diri dalam corak kehidupan di abad dua puluh satu.



Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) telah dapat dikenal pasti sebagai bahan yang dapat membantu guru dan pelajar di dalam kelas untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman mereka dalam mata pelajaran yang diikuti. Kementerian Pendidikan sedang berusaha menyediakan bahan PPBK yang melibatkan empat mata pelajaran iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang akan digunakan oleh pelajar-pelajar. Peranan guru-guru adalah untuk memberikan bantuan sebagai fasilitator di dalam kelas.

Menurut Zoraini Wati Abas (1993) guru-guru seharusnya peka dengan perkembangan teknologi maklumat yang semakin berkembang pesat ke arah peningkatan diri dan profesionalisma. Institut perguruan memainkan peranan penting dalam memberikan latihan kepada guru-guru terlatih melalui kursus dalam perkhidmatan supaya guru-guru sentiasa dapat meningkatkan mutu pendidikan dalam era teknologi maklumat yang globalisasi.









Pernyataan Masalah



Matapelajaran matematik adalah merupakan matapelajaran yang wajib diambil oleh semua pelajar sekolah menengah. Guru-guru dikehendakki menjalankan pengajaran sekurang-kurangnya lima waktu seminggu untuk matapelajaran Matematik. Pelajar-pelajar sekolah akan sentiasa berusaha agar matapelajaran ini akan dapat diikuti dengan sepenuhnya kerana ianya sangat penting supaya mendapat gred yang baik dalam peperiksaan kelak.

Masalah yang dihadapi adalah bagaimana dapat ditingkatkan lagi tahap pencapaian pelajar-pelajar sekolah menengah dalam mata pelajaran Matematik dan menambahkan lagi kefahaman serta dapat diaplikasikan pengetahuan mereka dalam kehidupan seharian.

Sehingga kini belum ada bahan Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer yang menepati kehendak sepenuhnya matapelajaran Matematik Tingkatan Satu samada dalam pasaran atau yang dibekalkan kepada tenaga pengajar. Oleh itu satu bahan PPBK bagi memenuhi keperluan tersebut perlu dibina dan diuji keberkesanannya agar dapat meningkatkan prestasi pelajar-pelajar sekolah menengah dalam bidang teknologi maklumat.











Objektif



Objektif projek ini adalah untuk membangunkan satu prototaip aplikasi komputer menggunakan teknologi Multimedia Interaktif untuk kegunaan pelajar-pelajar tingkatan satu yang mengikuti matapelajaran Matematik di sekolah menengah. Kajian ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas tentang kesesuaian bahan kursus PPBK yang sedang dibina oleh penyelidik iaitu model MASKOM.



Soalan Kajian



Terdapat dua persoalan utama kajian iaitu :

i) Adakah bahan kursus Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer

model MASKOM sesuai digunakan untuk bagi mata pelajaran Matematik bagi pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan satu ?

ii) Adakah bahan kursus Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer model MASKOM dapat membantu guru-guru sebagai bahan sokongan semasa pengajaran mata pelajaran Matematik bagi pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan satu?













Kepentingan Kajian



Keberkesanan pengajaran pembelajaran bagi mata pelajaran Matematik akan dapat ditingkatkan sekiranya terdapat satu bahan PPBK yang dapat membantu guru-guru semasa pembelajaran tersebut. Bahan PPBK tersebut hendaklah di bina dengan lengkap dan bersesuaian dengan mata pelajaran tersebut. Seterusnya bahan PPBK tersebut dapat digunakan oleh seluruh pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan satu termasuk digunakan oleh guru-guru yang terlibat dalam pengajaran matematik tingkatan satu.



Batasan kajian

Kajian ini adalah terbatas kepada peserta-peserta kursus KDPM opsyen Matematik Semester Empat di Institut Perguruan Darulaman, Jitra, Kedah sahaja. Pemilihan ini dibuat kerana peserta-peserta kursus ini akan menjadi guru terlatih yang akan mengajar matapelajaran matematik tingkatan satu di sekolah menengah apabila mereka menamatkan kursus mereka di IPDA. Kajian ini juga dijalankan di sini kerana terdapat hubungan yang erat antara penyelidik dengan Institut Perguruan Darulaman, Jitra, Kedah.















Definisi Operasional



Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) ialah satu strategi atau bentuk pengajaran pembelajaran dengan menggunakan komputer untuk menyampaikan seluruh atau sebahagian dari isi kandungan mata pelajaran. Ianya merupakan suatu pengajaran terancang menggunakan bahan perisian kursus.



Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) ialah kursus yang di anjurkan oleh Kementerian Pendidikan dan dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Guru di Institut/Maktab Perguruan untuk guru-guru pelatih. Ianya dijalankan selama tiga tahun untuk meningkatkan taraf pendidikan guru-guru pelatih yang akan berkhidmat di sekolah.



Model MASKOM ialah suatu bahan perisian kursus yang dibina berdasarkan mata pelajaran matematik untuk pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan satu. Ianya di bina menggunakan perisian alat pengarangan.

BAB DUA : SOROTAN BAHAN KAJIAN BERKAITAN



Pendahuluan



Perkembangan teknologi maklumat serta penggunaan komputer membawa implikasi yang besar ke atas kehidupan manusia termasuklah dalam bidang pendidikan. Ianya dapat membantu guru-guru dan pelajar-pelajar dalam proses pengajaran pembelajaran dengan lebih menarik dan interaktif. Selain dari bahan bantu mengajar, komputer juga boleh digunakan untuk mempercepatkan proses pengurusan dan penilaian di sekolah. Menurut Heinich, Molenda and Russell (1993) banyak perisian komputer yang boleh dimanfaatkan dalam setiap aspek pendidikan.



Perkembangan PPBK



Kaedah pengajaran pembelajaran berbantukan komputer telah lama wujud sejak tahun 1960-an lagi di Amerika Syarikat dengan menggunakan komputer IBM. Satu projek PPBK yang dinamakan PLATO (Programmed Logic Automatic Teaching Operation) telah dibangunkan dengan kerjasama Universiti Illinois untuk membangunkan bahan perisian kursus untuk di gunakan di sekolah-sekolah.

Di Malaysia, PPBK telah mula di perkenalkan dengan melibatkan 60 buah sekolah menengah yang dibekalkan 20 buah komputer pada tahun1993. Suatu bahan perisian yang di namakan ComIL telah di perkenalkan dengan kerjasama MIMOS dan Kementerian Pendidikan. Sekarang ini tumpuan utama PPBK adalah melibatkan empat mata pelajaran iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Kaedah pengajaran menggunakan komputer juga akan semakin berkembang dengan wujudnya Sekolah Bestari yang mana merupakan salah satu dari tujuh aplikasi MSC. Usaha-usaha sedang dijalankan oleh semua pihak untuk menjadikan mutu dan taraf pendidikan dapat ditingkatkan melalui pelbagai aspek dan salah satunya ialah penggunaan bahan-bahan perisian PPBK yang bersesuaian dan menepati kehendak pendidikan semasa.



Jenis-jenis PPBK

Terdapat lima jenis PPBK yang utama iaitu latihtubi, tutorial, simulasi, permainan dan penyelesaian masalah. Setiap jenis PPBK mempunyai kelebihan masing-masing dan sesuai digunakan dalam mata pelajaran peringkat rendah, menengah dan tinggi.

Latihtubi adalah suatu latihan yang berikan oleh komputer untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran. Komputer akan memberikan soalan dan merakamkan semua jawapan yang betul atau salah. Seterusnya komputer dapat memberikan maklumbalas kepada pelajar. Ini akan membolehkan pelajar yang kurang berpengalaman dapat mengikuti perjalanan kursus mengikut tahapnya sendiri dan dapat memaparkan kemajuannya pada bila-bila masa sahaja.

Tutorial melibatkan komputer memperkenalkan bahan-bahan pembelajaran di sampaikan secara berperingkat-peringkat dan diikuti dengan soalan-soalan. Seterusnya komputer akan menyemak jawapan dan memberikan maklum balas. Ianya sesuai digunakan untuk memperkenalkan isi kandungan baru, mengulangkaji dan pemulihan kepada pelajar yang berpencapaian rendah atau pengayaan kepada pelajar yang berpencapaian tinggi.

Simulasi adalah suatu situasi yang disediakan oleh komputer dengan memberikan gambaran sebenar terhadap sesuatu objek, proses atau peristiwa. Pelajar dapat berinteraksi secara aktif dengan komputer berdasarkan perana masing-masing bagi membuat keputusan, menyelesaikan masalah, isu, tugasan tertentu dan membuat keputusan yang tertentu. Ianya sesuai digunakan untuk pembelajaran proses dan konsep yang kompleks terutama dalam mata pelajaran seperti sains dan lain-lain yang memerlukan kajian atau modul atau modul yang mahal, merbahaya atau mengambil masa yang lama.

Permainan merupakan jenis PPBK yang melibatkan aktiviti berbentuk pertandingan di mana pelajar akan membuat keputusan, mengikut arahan dan peraturan. Unsur-unsur hiburan dan keseronokan dimasukkan bersama-sama semasa pelajar mempelajari sesuatu kemahiran dalam PPBK. Ianya akan dapat memperkembangkan kemahiran mental, logik, pengetahuan dan penyelesaian masalah. pelajar-pelajar akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk menjadi juara. Penyelesaian masalah adalah jenis PPBK yang dapat digabungkan dengan kaedah permainan untuk menghasilkan suatu keputusan yang hendak diambil oleh pelajar. Pelajar akan melakukan pilihan yang sesuai dan tepat.









Pembinaan bahan PPBK



Apabila hendak membina bahan PPBK, beberapa aspek perlu diambil kira seperti ahli-ahli kumpulan dan jenis perisian yang sesuai digunakan supaya mencapai objektif yang ditetapkan pada mula-mula lagi.



Menurut Tay Vaughan (1994) kumpulan yang akan membina bahan perisian akan terdiri dari :

i) seorang ketua projek,

ii) pakar pedagogi,

iii) pakar pengaturcara,

iv) pakar grafik,

v) pakar audio dan

vi) pakar video.



Terdapat dua pilihan untuk pembinaan bahan perisian iaitu :

i) bahasa pengatucaraan atau

ii) alat pengarangan.



Peringkat-peringkat yang perlu di ambil ialah :



i) Perancangan perlu dikenal dibuat seperti tajuk, anggaran perbelanjaan dan tarikh-tarikh mengikut jangkaan fasa yang perlu disiapkan.

ii) Peringkat menyediakan rekabentuk skrin seperti skrip, storyboard .

iii) Menjalankan pengaturcaraan di dalam komputer.

iv) Apabila selesai dibina, bahan PPBK tersebut hendaklah diuji kesesuaiannya. Segala kekurangan perlulah diperbaiki semula.

v) Membuat dokumentasi.

vi) Seterusnya barulah ianya dapat digunakan oleh pelajar-pelajar.



Penilaian PPBK



Menurut Alessi and Trollip (1991) proses penilaian melibatkan beberapa langkah iaitu :



i) Melihat dokumentasi sekali imbas dan meneliti maklumat penting

ii) Mendapatkan maklumat tentang perisian kursus dari dokumentasi yang dilampirkan untuk di salin ke borang penilaian.

iii) Menggunakan perisian kursus pada komputer dari awal hingga akhir sambil meneliti ciri yang sedia ada.

iv) Melakukan kesilapan menaip dengan sengaja. Lihat apa terjadi.

v) Memberikan penilaian berdasarkan penggunaan.









Menurut Douglass E. Wolfgram (1994) ciri-ciri bahan kursus yang baik ialah :



i) Isi kandungan yang bersesuaian dengan objektif pembelajarandan tahap kognitif pelajar .

ii) Arahan yang mudah digunakan dan jelas.

iii) Penggunaan grafik yang menarik.

iv) Terdapat selitan audio untuk menimbulkan rangsangan dan motivasi.

v) Terdapat interaksi antara komputer dengan pelajar di mana maklumbalas dapat diberi secara serta merta.


BAB TIGA : METODOLOGI KAJIAN



Pendahuluan



Kajian ini menggunakan bahan kursus PPBK model MASKOM yang dibina menggunakan alat pengarangan. Kajian ini bertujuan mengenal pasti sejauh mana kesesuaian bahan kursus Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer dapat digunakan bagi mata pelajaran matematik bagi pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan satu.

Bab ini akan menerangkan mengenai kaedah dan prosedur kajian yang hendak dijalankan. Bahagian-bahagian dalam bab ini ialah bentuk kajian, sampel, instrumen, prosedur pengumpulan data, prosedur analisis data dan batasan kajian.



Reka Bentuk Kajian



Bentuk kajian yang paling sesuai adalah kajian tinjauan. Ini adalah kerana kajian ini akan dapat membuktikan adakah bahan pengajaran berbantukan komputer menggunakan model MASKOM sesuai digunakan kepada pelajar-pelajar tingkatan satu sekolah menengah .









Sampel Kajian

Sampel yang di pilih adalah 40 orang peserta-peserta Kursus Diploma Malaysia di Institut Perguruan Darulaman, Jitra, Kedah yang akan di kumpulkan secara rawak kepada satu kumpulan sampel.



Instrumen

Bagi tujuan kajian ini, instrumen yang akan digunakan ialah soalan yang berbentuk tinjauan iaitu satu soal selidik yang menggunakan skala Likert akan diedarkan untuk mendapatkan maklum balas kesesuaian penggunaan model MASKOM.



Prosedur Pengumpulan Data

Peserta-peserta kursus yang terlibat akan diberikan taklimat awal dan akan ditunjukkan model MASKOM sebelum soal selidik diberikan. Seterusnya peserta-peserta kursus akan diberikan masa satu jam untuk menganalisa model MASKOM dan seterusnya menjawab soal selidik yang diberikan.



Analisis Data

Data-data akan dikumpul dan dianalisis secara prosedur deskriptif statistik. Skor-skor mentah akan dianalisis menggunakan kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai . Perisian SPSS Version 6 for Windows akan digunakan untuk tujuan menganalisis data.









SENARAI RUJUKAN



1. Alessi and Trollip (1991) Computer Based Instruction : Methods And Developtment (2nd Ed) NJ:Prentice Hall.

2. Borg, John W. (1989) Research in Education. (2nd Edition). New York: Prentive-Hall,

3. Douglass E. Wolfgram (1994) Creating Multimedia Presentations.

New York : Gold Disk. Inc.

4. Heinich, Molenda and Russell (1993) Instructional Media and The New Technologies of Instruction (4th Ed) NY : Macmillan.

5. Kerlinger, F. N. (1979) Behavioral Research : A Conceptual Approach. New York : Holt, Rinehart and Winston.

6. Tay Vaughan (1994) Multimedia : Making It Work , Second Edition .

Berkeley,U.S.A : Osborne Mc. Graw Hill.

7. Wiersma, William. (1989) Research Methods in Education. New York : J. B. Lippincott.

8. Van dalen, Deobold B. (1979) Understanding Educational Research. New York : McGraw Hill.

9. Zoraini Wati Abas (1993) Komputer Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.

10. Zoraini Wati Abas (1994) Pengenalan Kepada Komputer. Kuala Lumpur : Federal Publications.

No comments:

Post a Comment